Sunday, July 23, 2006
Siapa buli???
Buli. Membuli. Dibuli. Siapa yang bisa melarikan diri daripada 'godaan' membuli seseorang? Malah, siapa lagi yang bisa melarikan diri daripada dibuli atau dijadikan mangsa buli seseorang?
Sejujurnya, setelah saya membaca artikel berbahasa Inggeris tersebut, terkejut juga saya dibuatnya. Sesungguhnya, saya benar-benar tidak menyangka bahawa buli boleh diletakkan dalam dua kategori iaitu kategori buli secara fizikal dan juga buli secara lisan. Jadi selama ini, saya begitu dungu. Saya hanya menyangka bahawa apabila seseorang itu menyebut perkataan buli, beliau bermaksud buli secara fizikal. Tidak pernah terlintas difikiran saya selama 14 tahun saya hidup di dunia ini bahawa terdapat buli secara lisan. Namun, tidak mengapa kerana setiap seorang itu pasti akan mempelajari sesuatu walau secara awal atau lambat.
Sudah semestinya saya percaya bahawa buli wujud di sekolah saya. Sewajarnya memang setiap sekolah mempunyai pembuli atau mangsa buli. Tiada siapa yang bisa menafikan kenyataan itu. Lagipun, tanpa pembuli, mana mungkin ada mangsa buli? Dan tanpa mangsa buli juga, mana mungkin pula ada pembuli? Betul tidak? Disini ingin saya mengatakan juga bahawa buli bukan hanya bisa berlaku di sekolah. Buli bisa berlaku dimana-mana sahaja. Misalnya, buli boleh berlaku di perpustakaan ataupun mungkin di dalam rumah mereka sendiri. Memang tidak mustahil. Maksud saya, mana mungkin di dalam alam fana ini, tiada sebarang adik-beradik yang tidak membuli antara satu sama lain?
Pernah suatu ketika dahulu, saya dibuli adik saya. Kesian bukan. Beliau mengancam untuk memberitahu rahsia saya kepada ibubapa kami. Siksa juga saya dibuatnya. Risau habis batin saya. Rasanya begitu kesal memberitahu adik saya rahsia saya. Namun kini, kami berdua telah berdamai. Beliau juga telah terlupa semua rahsia lama saya. Alhamdulillah. Aman hidup saya! Saya pula kian lebih matang dan pandai bermain silap mata dengan adik saya. Sehingga detik ini, memang kami berdua masih berkongsi rahsia. Cuma apabila beliau mengancam saya dengan rahsia saya. Saya akan juga berbuat demikian. Dengan cara tersebut, tiada siapa yang kalah mahupun yang menang! Adil bukan? Baru padan muka adik saya! Ya, selama ini saya tidak sedar bahawa perkara yang telah saya lalui itu bisa disifatkan sebagai buli atau secara lebih tepat lagi, buli secara lisan.
Pada pendapat saya, sesetengah remaja itu menjadi mangsa buli kerana perasaan takut. Dari pengalaman saya menjadi mangsa buli adik saya, memang perasaan takut itu sentiasa wujud. Perasaan tersebut akan tetap wujud, tidak kira seseorang itu dibuli secara fizikal atau lisan. Untuk menjelaskan lagi maksud saya, saya akan berikan dua buah contoh. Buat buli secara fizikal, seseorang itu akan merasakan ketakutan kerana sewajarnya mereka takut akan dicederakan. Contohnya, mungkin mereka takut akan dipukul, ditendang, dihentak dengan besi dan sebagainya. Pokoknya, mereka takut mereka cedera parah dan tidak mampu menahan kepedihannya.
Bagi buli secara lisan pula, perasaan ketakutan itu akan pula menimbul kerana mereka takut akan mungkin rahsia mereka terbongkar ataupun mereka berasa malu kerana telah diejek-ejekkan oleh sahabat-sahabat mereka. Lagi satu pendapat saya mengapa sesetengah remaja menjadi mangsa buli adalah mungkin kerana si pembuli tersebut telah mengancam mereka bahawa beliau akan mencederakan orang-orang yang mereka sayangi. Dengan cara itu, si mangsa buli pasti akan berasa risau akan 'keselamatan' orang-orang yang mereka sayangi itu. Mungkin kerana rasa sayang, takut dan juga risau, si mangsa buli akan turuti segala kehendak si pembuli. Lantas, dia akan terus-menerus menjadi mangsa beliau. Dan dari sinilah, si mangsa buli akan secara perlahan-lahan menghilang kepercayaan diri untuk melawan balik si pembuli kerana atas dasar rasa takut.
Kesan ke atas remaja yang dibuli memang terlalu hebat. Jika kita membandingkan kesan antara si mangsa buli dan pembuli, kesan ke atas si mangsa buli itu lebih hebat. Ini kerana, jika kamu bayangkan, jika kamu dibuli terus-menerus, antara perasaan utama yang dapat kamu rasakan sudah tentu adalah benci yang besar terhadap si pembuli dan juga rasa tidak berpuas hati. Dan dari rasa tidak berpuas hati pula, disitulah muncul arusnya perasaan membalas dendam. Jika perasaan dendam itu makin meluap-luap, parah pula keadaannya nanti. Jika si mangsa buli itu ingin membalas dendam dan tidak bisa membuat demikian terhadap si pembuli beliau, mungkin si mangsa buli itu pula akan membalas dendamnya itu terhadap orang lain. Lantas, orang yang lain itu pula akan menjadi mangsa buli seterusnya dan jika perkara sebegini terus-menerus berlaku, kita benar-benar boleh melihat sebuah "cycle".
Kesan ke atas remaja yang membuli mungkin tidak sehebat remaja yang dibuli. Ini kerana rasa berpuas hati dapat dinikmati oleh si pembuli kerana hasratnya untuk membalas dendam itu telah tercapai. Mungkin setelah dapat menikmati rasa berpuas hati itu, beliau akan berhenti membuli. Mungkin juga mereka tidak akan berhenti kerana rasa 'seronok' ketika membuli seseorang ataupun mungkin kerana desakan sahabat. Saya juga tidak akan menolak kemungkinan bahawa ada remaja yang menjadi pembuli kerana inginkan perhatian. Mungkin perhatian dari teman-temannya di sekolah. Ataupun mungkin si pembuli menjadi nakal kerana dahagakan perhatian pula daripada ibubapa masing-masing. Biasanya buat orang yang dibuli, mereka akan mula menjadi pendiam. Ini semua gara-gara puncanya rasa ketakutan mahupun rasa serik. Disitu, tidak mustahil juga, jika batin mereka tersiksa.
Saya tidak pernah menjadi mangsa buli secara fizikal tetapi agaknya saya pernah menjadi mangsa buli secara lisan. Misalnya, menurut artikel tersebut, antara contoh buli secara lisan adalah "teasing" ataupun "name calling" Jika "teasing" ataupun diejek itu, memang saya sudah biasa tetapi saya sebenarnya seorang yang berfikiran luas. Saya dan teman-teman menganggap itu semua sebagai bahan gurauan. Siapa yang tidak pernah mengejek ataupun diejek di dunia ini? Saya pun pernah kena. Mungkin cikgu juga.
Jika kami bergurau secara ejek-ejekkan ataupun "name calling", saya dan teman-teman tahu batasannya. Mana mungkin kita mengejek teman-teman kita hingga kita menyinggung perasaan mereka. Jika kadang-kala tanpa sengaja kita menyinggung perasaan mereka,ya, sudah tentu kami semua minta maaf. Bukannya sengaja kita ingin menyakitkan hati si sahabat. Benarkan? Kami semua juga ada perkara lain yang lebih berfaedah untuk dilakukan daripada mengejek sahabat melebihi batasannya.
Sebenarnya, saya hampir terlupa untuk menjelaskan sesuatu. Jika kita dibuli secara fizikal ataupun lisan, buli fizikal hanya lebih kepada mungkin cedera parah hingga mengalir darah, patah tulang ataupun bengkak. Namun buli secara lisan pula lebih kepada perasaan ataupun batin. Luka secara batin sebenarnya lebih hebat untuk ditanggung jika dibandingkan dengan luka secara fizikal. Luka secara fizikal hanya mencabar kekuatan seseorang. Namun, luka secara batin itu mencabar daya pemikiran, kesabaran dan juga mungkin keimanan seseorang itu. Lantas, luka fizikal memerlukan masa yang singkat dan juga perubatan yang disarankan doktor untuk disembuh namun buat luka batin, hanya masa, kasih sayang dan semangat daripada orang-orang yang disayangi, bisa menjadi ubatnya.
11:01 PM